Tuan Haji Mohamad Adnan bin Abdullah
dilahirkan pada 30 Julai 1968, di kampung Kekra, Mukim Kekra, Daerah
Raman, Wilayah Yala, Selatan Thailand. Beliau adalah anak
tunggal hasil perkongian hidup pasangan Abdullah bin Yusof dan Juwairiyah
binti Mat Yaman. Dalam usia 39 tahun anak kelahiran
kampung kekra ini, beliau telah mewakafkan seluruh hidupnya untuk
berbuat kebajikan dan sekaligus memperkembangan syiar Islam.
SEJARAH KEHIDUPAN DAN PENDIDIKAN
Keadaan persekitaran di tanah air yang tidak menentu pada ketika
itu, telah menyebabkan penceraian kedua-dua orang tuanya. Ketika
itu, beliau baru berusia dua setengah tahun yang amat memerlukan
perhatian dan kasih sayang oleh ibu dan bapa. Akibat perpisahan
ini, beliau bukan sahaja kehilangan kasih sayang bahkan juga menjadi
warisan derita kemiskinan yang berpunca daripada paksaan tidak langsung
pihak penjajah ke atas anak-anak peribumi. Setelah kedua-dua ibu
bapanya berkahwin lain, beliau telah dijaga dan dapat menumpang
kasih sayang daripada ibu saudaranya.
Hampir 10 tahun menumpang kasih
di merata - rata, dia yang terkenal dengan seorang yang bermasalah
yang digelar guru sekolah kebangsaan semasa di sekolah rendah dengan
pakaian yang tidak terurus. Pada usia ketika itu, kanak -
kanak lain mendapat kasih sayang ibu bapa, tetapi beliau masih mencari
- cari nilai kasih sayang. Syukur alhamdulillah, masih ada nenek
yang memberi kasih sayang. Akan tetapi, nilai kasih sayang masih
tidak sama dengan nilai kasih sayang ibu bapa.
SEJARAH PENDIDIKAN :
Sistem siamisasi di Thailand ketika
itu mewajibkan anak-anak Melayu menuntut di sekolah kebangsaan Siam
bermula dari darjah satu hingga darjah enam. Akibat sistem siamisasi
penjajah ini, beliau terpaksa mengikut dan seterusnya menuntut di
sekolah Siam tersebut.
Sebaik sahaja tamat persekolahan
di sekolah kebangsaan Siam, ayahnya terus bertanya kepada beliau,
“Abih darjah ne, mu nak mengaji dimana”?. Beliau
terus menjawab, “Nak mengaji pondok”. Satu jawapan
yang sedang bermain dibenak fikiran beliau dan Pusat Pengajian Islam
sistem Pondok adalah pilihannya. Beliau menuntut di Al-Hidayah
Diniah di Patani. Pada masa yang sama beliau sanggup berulang
alik antara Al-Hidayah Diniah dan Pondok Darul Hadis, juga salah
sebuah pusat pengajian sistem pondok bagi meningkatkan ilmu terutama
mendalami ilmu hadis dan Al-Quran. Pusat pengajian ini ditubuhkan
dan dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rasyik Warak. Begitulah
beliau berulang-alik sejauh 6 kilometer semata-mata untuk menambah
ilmu.
Kesungguhan beliau untuk menimba
ilmu ini tidak terhenti di situ sahaja. Beliau telah meneruskan
pengajian dalam ilmu tajwid dari seorang guru di Kampung Lakha.
Guru berkenaan adalah Ustaz Haji Ahmad iaitu seorang yang memang
terkenal sebagai guru dan ulama yang alim lagi tinggi ilmu pengetahuan
keagamaan terutama mengenai Al-Quran.
Sebagai seorang insan yang hidup
dalam kemiskinan, tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan
menuntut ilmu yang lebih tinggi. Bantuan daripada keluarga yang
diterima ketika itu masih tidak mencukupi untuk beliau mencapai
cita-citanya. Justeru itu, beliau sanggup berusaha dan melakukan
berbagai kerja sambilan. Ketika masa lapang, beliau pernah bekerja
membersih hutan di Kampung Tok Pakir, Mercang, Terengganu.
Dengan wang upah sebeginilah beliau dapat menampung perbelanjaan
pengajiannya.
Tuan Haji Mohamad Adnan pernah
juga berkhidmat secara sukarela dengan mengajar ilmu-ilmu yang beliau
pelajari selama ini di Pondok. Beliau juga bergilir-gilir
mengajar di beberapa pusat pengajian Pondok yang lain. Selain
itu, beliau selalu juga menyertai kumpulan dakwah yang mana aktivitinya
ialah mengajak anak-anak muda yang nakal dan terbiar kembali ke
pangkal jalan iaitu kembali melaksanakan kehidupan berlandaskan
Islam. Ketika berumur 17 tahun, beliau gigih mengajar secara
sambilan di beberapa pusat pengajian sistem pondok. Pada tahun 1988
beliau ‘mencari’ remaja yang bermasalah akhlak dan alhamdulillah,
beliau dan rakan-rakan mampu memulihkan kembali fitrah mereka.
Selain daripada itu, beliau pernah
juga membuka pusat asuhan keagamaan di Felda Pinang Mas, Dungun,
Terengganu. Pusat ini khusus untuk mendidik anak-anak peneroka setempat
yang kurang didikan keagamaan. Semua khidmat ini adalah sukarela
dan tanpa mengenakan sebarang bayaran. Ya! Nampaknya di samping
menuntut ilmu, beliau berusaha gigih berbakti secara sukarela dan
sanggup bekerja sebagai seorang buruh dan menyambut tugas-tugas
kasar. Dengan kata lain, sepanjang beliau menuntut ilmu, beliau
bagaikan sentiasa bersama air mata.
Mengenangkan betapa sukarnya menjalani
kehidupan sebagai anak kepada keluarga yang runtuh akibat bebanan
kemiskinan ekonomi, juga hilangnya kasih sayang keluarga dan sebagainya,
lantas dihati kecil Mohamad Adnan terlintas untuk menabur bakti
kepada anak-anak miskin, yatim dan malang. Dengan ini, beliau menubuhkan
sebuah pusat pengajian Islam sistem Pondok di kampungnya. Azam beliau
untuk memberi peluang anak-anak yatim, miskin lagi terbiar, turut
mendapat peluang menuntut ilmu.. Semua pelajar ini ditanggung sepenuhnya
baik yuran pembiayaan pengajian mahupun keperluan asas.
Demikian sejarah kehidupan, perjuangan
dan kesungguhan beliau mewakafkan seluruh hidupnya demi agama. Malah
beliau berwasiat, apa jua yang dikatakan ‘miliknya’
tetap kekal menjadi milik madrasah. Tiada satu pun boleh dijadikan
pusaka milik peribadi hatta kepada anggota kaum keluarganya sendiri.
Sudah tentu Madrasah Nurul Islam berikutnya nanti diharapkan akan
dipimpin oleh insan yang seharusnya mampu meneruskan misi dan visi
beliau. Antaranya mempunyai ciri-ciri berikut:
1- Amanah
2- Zuhud (Tidak Mencintai Dunia)
3- Kuat Mengamalkan Sunnah (Diri dan Keluarga)
4- Bertanggungjawab
5- Beramal
6- Berakhlak Mulia
Kini, beliau yang sudah berkeluarga dan mempunyai 12 orang anak,
akan tetap terus gigih berbakti kepada anak-anak yatim, miskin dan
terbiar menerusi penubuhan Madrasah Nurul Islam. Cita-cita seterusnya
ingin mendapat anak seramai 100 orang.
|